khairil.ashraf@hmetro.com
Kuala Lumpur: Orang ramai tidak perlu bimbang kerana tiket bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Pekerja bagi tahun ini masih boleh didapati.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, pihaknya menyediakan empat ETS tambahan perjalanan pergi balik laluan KL Sentral-Padang Besar serta KL Sentral-Butterworth pada 19 hingga 25 April.
“Tiket tren tambahan ini telah mula dijual pada 10 pagi semalam,” katanya.
Kata KTMB, tren tambahan itu menawarkan 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 13,860 yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan dalam tempoh itu.
“Perkhidmatan tren ETS tambahan bagi kedua-dua laluan itu membabitkan 14 perkhidmatan dengan masing-masing menawarkan 4,410 tiket.
“Sementara itu, perkhidmatan tren tambahan sempena Hari Pekerja yang melibatkan 16 perkhidmatan akan bermula pada 28 April hingga 1 Mei dengan jumlah tiket ditawarkan sebanyak 5,040,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


