am@hmetro.com.my
Jelebu: Warga emas yang patah tulang pinggul selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas dan merempuh kediamannya di Kilometer 40 Jalan Peradong, di sini, meninggal dunia malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa, Rahimah Abdul Majid, 82 tahun meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban ketika menerima rawatan, pada 10.30 malam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Semalam media melaporkan, warga emas patah tulang pinggul dan tidak sedarkan diri selepas kediamannya di rempuh MPV pada 12.58 tengah hari.
Sementara, pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina, wanita berusia 43 tahun mengalami kecederaan lebam dada kiri dan lebam peha kiri.
Siasatan awal polis mendapati MPV dipandu wanita dari arah Serting Ulu menghala ke SMK Dusaj terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kanan sebelum melanggar sebuah rumah ketika melalui jalan di Kilometer 40 Jalan Peradong.
Akibat kejadian itu mangsa yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd


