am@hmetro.com.my
Baling: “Saya sempat teman arwah Sailulhayati Mat Isa beli baju raya untuk anaknya, Amar Rizqi Saiful Azmi di Pekan Baling, semalam.
“Arwah nak cari baju warna hitam dan sempat membelinya. Kami memang rapat sejak kecil,” kata Noraida Che Hassan, 42.
Noraida adalah sepupu Sailulhayati, 36, yang maut dalam kemalangan bersama suaminya, Saiful Azmi Razali, 35, di Kilometer 41.02 Jalan Kulim-Baling-Grik, di sini, malam tadi.
Menurut Noraida, anak tunggal pasangan itu, Amar Rizqi, 2, yang cedera masih dirawat di Hospital Kulim.
Katanya, sebelum ini Sailulhayati menetap di rumah peninggalan keluarganya di Kampung Pisang, di sini namun berpindah ke Kulim mengikut suaminya yang bekerja di daerah itu.
Noraida berkata, dia yang memanggil sepupunya itu Maksu tinggal bersebelahan rumah ibu bapa arwah dan menyifatkan arwah seorang yang sangat baik.
“Setiap kali dia balik ke sini, kami akan berbual bersama dan akan mengajak saya keluar beli barang di Pekan Baling dengan menaiki kereta Perodua Viva miliknya.
“Arwah juga berjanji akan balik ke sini semula dua hari lagi dan akan masak spageti untuk kami kerana anak-anak saya memang suka spageti yang dia masak. Lepas ni dah tak boleh makan dah,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Pisang, hari ini.
Menurut Noraida, dia mengetahui kemalangan yang menimpa arwah dan suaminya pada 10.30 malam.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan penduduk kampung yang tiga beranak itu terbabit dalam kemalangan dan suami mangsa meninggal di tempat kejadian manakala Sailulhayati meninggal dunia di Hospital Kulim.
“Saya tak sangka sebab mereka keluar dari rumah kira-kira 9 malam selepas selesai berbuka puasa di rumah pusaka ibu bapa arwah di sini.
“Setiap minggu mereka akan balik ke rumah ini kerana suami arwah akan mengambil bekalan tebu kerana mereka turut berniaga air tebu ketika bulan puasa di Karangan, Kulim,” katanya.
Noraida berkata, dia menghabiskan waktu keluar dengan arwah sepupunya itu pada 3.30 petang hingga 6.30 petang semalam.
Katanya, itulah kali terakhir mereka keluar bersama.
“Kami reda dengan apa yang berlaku apatah lagi kemalangan berlaku ketika bulan Ramadan dan berharap anak tunggal mereka segera sembuh,” katanya.
Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Huda, Kupang, selepas solat Zuhur hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, sepasang suami isteri maut manakala anak mereka berusia dua tahun parah selepas van jenis Nissan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 41.02 Jalan Kulim/Baling/Grik, di sini malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Saiful Azmi Razali, 35, dan isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, manakala anak mereka, Amar Rizqi Saiful Azmi, 2, cedera.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang juga seorang guru dari Kupang, di sini pula mengalami luka di bahagian muka.
© New Straits Times Press (M) Bhd


