90 anak yatim, asnaf dapat baju raya

90 anak yatim, asnaf dapat baju raya

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: UDA Holdings Berhad (UDA) mengagihkan zakat wakalah berjumlah RM31,500 kepada 90 anak asnaf dan yatim dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Larkin di sini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany berkata, dalam mengejar pencapaian prestasi syarikat, UDA yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atau KUSKOP, komited menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya komuniti di wilayah pembangunan serta perniagaannya.

Katanya, inisiatif itu juga adalah sebagai penghargaan serta tanda terima kasih UDA kepada semua pihak yang sentiasa mempercayai dan menyokong agensi peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti itu, sejak lima dekad lamanya.

“Menerusi pengagihan zakat wakalah ini, setiap seorang anak asnaf dan yatim dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh akan menerima sumbangan zakat berjumlah RM350 berbentuk sumbangan duit raya serta baju raya serta persiapan menjelang hari lebaran.

“Setiap seorang anak-anak ini dibawa hari ini untuk membeli baju raya di Angsana Johor Bahru Mall yang menawarkan pelbagai kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

“Semoga sumbangan ini dapat memberikan makna yang besar buat mereka dan diharapkan ia mampu mengukir senyuman serta keceriaan menjelang Syawal pada tahun ini.

“Inisiatif UDA Cares ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan dan terima kasih UDA kepada semua pihak yang sentiasa mempercayai dan menyokong UDA malah kami akan terus mengukuhkan fungsi dan peranan dalam setiap segmen perniagaannya, seterusnya bergerak ke arah kelestarian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan asnaf dan anak yatim selepas selesai membelikan mereka pakaian dan keperluan Aidilfitri dan pengagihan duit raya di sini, petang semalam.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA, Azrudyn Rashid.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd Nazri Jamiran dan Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh.

Dalam pada itu, penerima asnaf dan anak yatim dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, bersyukur dan berterima kasih kepada UDA kerana membawa mereka membeli belah pakaian dan keperluan Aidilfitri.

Syed Ahmad Haziq Syed muhammad Fuzaimee, 13, berkata beliau berasa terharu kerana seumur hidupnya tidak pernah membeli persiapan kelengkapan dan pakaian Aidilfitri serba lengkap seperti diberikan UDA.

Berikutan keluarganya yang miskin dan terpaksa mengutamakan keperluan lebih penting, kadang kala beliau tidak berkesempatan mendapat baju baharu pada Aidilfitri sebelum ini.

“Hari ini seronok sangat UDA belanja belikan set baju raya, samping dan kurta serta kasut semuanya RM300.

“Tak pernah saya dapat pakaian raya secantik dan selengkap ini sebelum tinggal di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.

Tamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd