Emma tetap ligat

Emma tetap ligat

PROSES kehamilan tentunya menjadi detik berharga buat setiap wanita yang bergelar ibu. Bagi pelakon, Emma Maembong, dia juga meraikan proses kehamilan anak kedua ini sebagai satu pengalaman menyeronokkan.

Berkesempatan bertemu dan menemubual Emma yang kini sarat mengandung dan menghitung hari untuk bersalin, dia berkongsi pengalaman keduanya.

“Kehamilan kali ini berbeza sebab saya sangat aktif, selalu muncul di acara-acara dan berjalan ke sana sini. Tapi, saya agak mengah juga kerana banyak makan.

“Bahkan, orang lain pula yang selalu ingatkan saya bahawa saya sedang hamil sebab saya terlalu aktif dan lincah.

“Bukan sahaja saya, bayi dalam kandungan pun aktif juga,” katanya.

Menurut Emma yang bakal menimang seorang lagi cahaya mata lelaki, dia belajar untuk lebih menghargai alam rumah tangga dan keluarga kecilnya.

“Apa yang saya belajar adalah, saya lebih menghargai rumah tangga itu sendiri. Saya belajar untuk menjaga anak dan suami saya,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh jangkaan bersalin, Emma memaklumkan, dia dijangka bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan pada 6 Mei ini.

“Kalau berdasarkan apa yang doktor maklumkan, tarikh jangkaan saya bersalin adalah pada 6 Mei. Tapi, berdasarkan pengalaman saya bersalin anak sulung, memang tiga ke empat minggu lebih awal.

“Jadi, doktor minta saya dan suami untuk bersiap sedia. Mungkin antara 15 hingga 19 April, saya dah nak bersalin,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan menuju hari kelahiran, Emma dan suaminya, Muhammad Shazli Azhar lebih selesa untuk menggunakan semula barangan keperluan yang masih boleh digunakan.

“Saya memang dah rancang untuk dapatkan anak dengan jarak usia yang tak terlalu jauh antara satu sama lain. Ertinya, ketika anak sulung masih kecil, saya mengandung lagi.

“Jadi, barang-barang keperluan dan baju bayi, kebanyakannya masih boleh digunakan. Sejujurnya, untuk kehamilan kali ini, saya tak ada beli apa pun untuk diri sendiri dan bayi.

“Kalau beli pun, barang keperluan seperti lampin pakai buang dan sebagainya,” katanya.

Secara tidak langsung, kehamilan kali ini juga membuatkan Emma belajar dari kesilapan sebelum ini, di mana, dia berbelanja sakan untuk menyambut kelahiran anak sulungnya.

“Kesilapan yang saya lakukan ketika hamil anak sulung dahulu adalah, saya terlalu boros membeli barang yang tak diperlukan.

“Jadi, ada banyak barang yang tak digunakan dan sekali gus, membazir. Kali ini, saya belajar dari pengalaman.

“Satu lagi, ramai juga rakan-rakan yang hadiahkan barangan keperluan bayi. Memang itu adalah rezeki anak,” katanya.

Ditanya mengenai alahan yang dialaminya, Emma berkongsi mengenai bagaimana dia bergelut dengan situasi muntah setiap kali selepas makan.

“Alahan kali ini memang lagi teruk berbanding kehamilan pertama. Kalau makan apa-apa, lebih kurang setengah jam kemudian, saya akan muntah semula.

“Kalau orang lain, mungkin masuk bulan keenam, alahan dah berkurangan. Tapi, tidak untuk saya. Sejak saya tahu mengenai kehamilan saya, sehinggalah sekarang, memang saya asyik muntah.

“Tapi, alhamdulillah sebab saya dapat berpuasa penuh setakat ini. Walaupun ada muntah, saya pastikan saya bersahur lebih awal sebab saya tahu akan muntah,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, Emma menyerahkan segalanya kepada suaminya untuk membuat keputusan.

“Sebenarnya, Insya-Allah saya akan bersalin beberapa hari sebelum Aidilfitri. Jadi, saya akan berpantang dalam bulan Syawal.

“Tapi, kalau kita berbicara mengenai sambutan Aidilfitri, orang yang paling teruja dalam melakukan persiapan adalah suami saya.

“Setiap tahun, dialah yang akan tentukan warna baju Raya, hantar ke tukang jahit, biskut Raya dan sebagainya.

“Saya pula jenis yang akan ikut sahaja cakap dia. Memang 100 peratus suami yang akan buat kepu

tusan,” katanya.

Pasangan Emma dan Muhammad Shazli Azhar berkahwin pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Shariq Gabriel pada 8 November 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd