am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 merampas RM2.1 juta rokok putih yang diseludup dari negara jiran dalam serbuan di Sungai Kuala Besut, Rabu lalu.
Serbuan menerusi Op Taring itu dijalankan PPM Tok Bali dan PPM Pengkalan Kubor pada jam 5 pagi di kawasan sangkar ikan sungai terbabit.
Sumber berkata, pasukan operasi yang menjalankan pemantauan di sepanjang sungai terbabit mengesan sebuah bot memasuki pengkalan.
“Pasukan operasi menjalankan pemerhatian selama 30 minit sebelum serbuan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan menemui 14,000 rokok putih berjenama Lee yang belum lulus kastam dan dipercayai diseludup dari negara jiran, “katanya.
Menurutnya, serbuan turut merampas sebuah lori dipercayai digunakan untuk mengangkut barang yang diseludup berkenaan.
“Nilai rokok yang dirampas adalah RM2 juta dan sebuah lori RM100,000. Semua barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan penyeludupan boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi diambil tindakan, “katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan daerah Besut dan Setiu kini menjadi hab penyeludupan rokok putih yang dibawa masuk dari Tak Bai, Thailand.
Sindiket yang dikawal individu A dan M itu kini menguasai aktiviti haram di negeri berkenaan membabitkan nilai pasaran puluhan juta ringgit.
Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, sindiket itu menjadikan beberapa restoran dan premis sebagai stor penyimpanan sementara sebelum diedarkan bagi tujuan pasaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




