Real berhak menang – Ancelotti

Real berhak menang – Ancelotti

Madrid: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata pasukannya berhak menang ke atas Manchester City bagaimanapun dia tetap berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemainnya selepas perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Real bergelut di peringkat awal tetapi mengawal perlawanan selepas Vinicius Jr menjaringkan gol menerusi rembatan kencang dari jarak jauh pada minit ke-36.

Bagaimanapun, selepas Real mencipta beberapa peluang untuk melebarkan kelebihan mereka, Kevin De Bruyne berjaya menjaringkan gol juga dari jarak jauh pada minit ke-67.

“Kami bersaing, kami berjuang, saya rasa kami layak menang. Ia perlawanan yang baik dan kami menuju ke perlawanan kedua dengan perasaan yang baik.

“Keputusan itu tidak memberi ganjaran kepada kami untuk apa yang kami lakukan di atas padang, tetapi perlawanan ini akan berakhir sehingga minit terakhir,” kata Ancelotti.

“Mereka lebih mengawal bola pada 30 minit pertama tetapi itu tidak membimbangkan kami kerana kami berada di kedudukan yang lebih baik di bahagian pertahanan dan menunggu untuk melakukan serangan balas yang lebih berkesan.

“Pada separuh masa kedua, kami berjaya keluar dari belakang dengan lebih baik dan kami sepatutnya menang.”

Ancelotti biasanya tenang di garisan tepi padang tetapi mula hilang sabar selepas gol Manchester City dan dilayangkan kad kuning kerana tidak berpuas hati dengan pengadil Portugal, Artur Dias.

Pengendali Itali itu merasakan bola terkeluar daripada permainan dalam ketika gol penyamaan City.

“Banyak perkara yang mengganggu pengadil,” kata Ancelotti pada sidang media.

“Sebelum itu sepatutnya ada sepakan sudut buat kami yang dia tidak nampak. Dan bola sudah keluar, imej teknologi ditunjukkan BeIN Sports jelas sekali.

“Ia pelik mereka tidak melihatnya. Dia memberikan saya kad kuning, dan saya bukannya bermain. Sebahagian pemain di padang lebih berhak menerimanya. Pengadil itu tidak memberikan perhatian.”

© New Straits Times Press (M) Bhd