Aktivis berpakaian ala Permaisuri Thai ketika protes dipenjara

BANGKOK – Seorang aktivis di Thailand telah dipenjarakan selama dua tahun selepas mahkamah mendapati dia menghina monarki apabila berpakaian seperti Permaisuri Thailand.

Jatuporn ‘Baru’ Saeoueng, 25, yang ditahan sebelum ini memakai gaun merah jambu pada demonstrasi politik di Bangkok pada 2020.

Bagaimanapun, tertuduh menafikan tuduhan penghinaan diraja terhadapnya, sebaliknya mendakwa dia hanya memakai pakaian tradisional.

Thailand mempunyai undang-undang sangat ketat yang mengharamkan kritikan terhadap raja dan kerabat diraja lain.

Sejak Raja Maha Vajiralongkorn menaiki takhta pada 2019, kumpulan hak asasi manusia berkata, pihak berkuasa telah melaksanakan undang-undang lèse-majesté untuk membatalkan gerakan protes yang menuntut pembaharuan kepada monarki yang berkuasa.

Sejak November 2020, sekurang-kurangnya 210 penunjuk perasaan telah didakwa atas kesalahan lèse-majesté, selepas tempoh tiga tahun undang-undang tidak dikuatkuasakan sama sekali, kata kumpulan undang-undang Thailand.

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik hukuman tiga tahun penjara ke atas Jatuporn tetapi tempohnya dikurangkan serta-merta kepada dua tahun.

Jatuporn menyertai protes pada tahun 2020 sebagai penghibur yang memakai pakaian formal sutera merah jambu, yang mana dia berjalan di atas permaidani merah sambil ditemani oleh seorang individu lain dengan memegang payung di atas kepalanya.

Isteri raja, Permaisuri Suthida, sering memakai fesyen sutera formal untuk acara awam.

Kerabat diraja Thai juga sering mempunyai seorang petugas yang akan memayungi mereka pada upacara dan acara tertentu.

Jatuporn dalam temu bual sebelum keputusan mahkamah berkata: “Saya tidak berniat untuk mengejek sesiapa. Saya berpakaian untuk diri saya sendiri pada hari, versi saya dalam pakaian tradisi Thai,” katanya. – AP