Alia semakin membara

Alia semakin membara

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Menerima hadiah wang sebagai insentif kemenangan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tertinggi kategori individu iaitu sebanyak RM11,500, menjadi pembakar semangat buat penembak Negeri Sembilan, Alia Husna Budruddin.

Penembak berusia 22 tahun itu sebelum ini mencipta sensasi apabila meraih tiga pingat emas dan satu perak selain mencipta satu rekod kebangsaan kategori berpasukan bagi acara 50 meter (m) rifle 3 posisi, pada temasya berkenaan di Kuala Lumpur.

Rekod kebangsaan itu dicipta bersama rakan sepasukan Aina Zahara Baharum dan Gan Chen Jie selepas berjaya mengutip 1,689 mata.

Pada majlis penyampaian insentif kemenangan Sukan Sea 2021 dan Sukma Ke-20 2022 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, baru-baru ini, Alia Husna menerima hadiah RM11,500.

“Ini hadiah wang insentif sukan menembak paling banyak pernah saya terima setakat ini. Hadiah ini memberi makna besar kepada saya sebagai atlet.

“Saya amat menghargai usaha kerajaan Negeri Sembilan yang menghargai pengorbanan atlet dari negeri itu. Sudah pasti hadiah ini akan memberi suntikan semangat kepada saya untuk terus meningkatkan prestasi dalam kejohanan lain pada masa akan datang,” katanya di sini, hari ini.

Alia Husna berkata, penyertaannya dalam Sukma ke-20 itu adalah yang terakhir dan berasa bangga kerana dapat menyumbang pingat buat kontinjen Negeri Sembilan selain mencipta rekod kebangsaan.

Menurutnya, selepas ini dia akan memberi fokus kepada kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk peringkat Universiti Asean dan juga Sukan Sea serta kejohanan Asia.

“Saya pernah beraksi pertama kali di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, namun gagal meraih sebarang pingat selepas sekadar menduduki tempat keempat acara 50 meter rifle 3 posisi di pentas final.

“Bagaimanapun hasrat untuk mencuba sekali lagi pada temasya yang sama di Kemboja tahun ini tidak kesampaian apabila acara menembak tidak tersenarai dalam kejohanan berkenaan.

“Memang saya rasa terkilan kerana tidak dapat mewakili negara, namun saya yakin dan percaya akan berpeluang melakukannya pada temasya Sukan Sea 2025 nanti,” kata atlet yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor.

Alia Husna berkata, meskipun sibuk sebagai penuntut, namun dia tetap fokus kepada sukan diminatinya itu dan kini sedang membuat persiapan latihan bagi menghadapi Kejohanan Menembak Asia 2023 yang dijadual akan berlangsung di China pada September depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd