Brasilia: Juara Formula Satu (F1) tiga kali, Nelson Piquet didenda AS$945,000 (RM4.18 juta) kerana kenyataan berbaur perkauman yang dibuat terhadap pemandu Britain, Lewis Hamilton, yang digelarnya sebagai ‘neguinho’ atau ‘kulit hitam kecil’ dalam satu temu bual.
Mahkamah di Brasilia memutuskan bahawa kenyataan itu tidak boleh diterima dan ia adalah ‘kesalahan serius terhadap nilai asas masyarakat’.
Piquet, 70, didenda kerana ‘ganti rugi moral kolektif’ dengan wang itu akan didermakan kepada kumpulan yang memerangi diskriminasi.
Juara dunia pada 1981, 1983 dan 1987 itu menggunakan perkataan ‘neguinho’ ketika temu bual pada 2021 apabila dia mengkritik Hamilton dalam pertembungan dengan Max Verstappen, teman lelaki anaknya Kelly, di Grand Prix Britain pada tahun yang sama.
Hamilton, juara dunia tujuh kali, mengecam sikap Piquet apabila berkata: “Ia lebih daripada perkataan.”
Piquet kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf.
“Apa yang saya katakan adalah salah dan saya tidak akan mempertahankan diri tetapi saya ingin menjelaskan bahawa istilah ini sering digunakan dalam bahasa Portugal dan Brazil untuk menggambarkan ‘lelaki’ atau ‘orang’ dan ia tidak pernah bertujuan untuk menyinggung perasaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


