Ibu bapa usah bagi 'diskaun'

Ibu bapa usah bagi 'diskaun'

Serdang: Lambakan laman sembang yang menyumbang ke arah kelucahan atau amalan sextingdilaporkan, baru-baru ini.

Kanak-kanak atau pelajar sekolah antara menjadi mangsa kepada senario ini. Perkara ini amat membimbangkan jika masih berterusan dan tidak ada tindakan diambil.

Pada Khamis lalu, tular satu kes membabitkan lelaki berusia 22 tahun dan pasangannya pelajar sekolah berusia 17 tahun ditangkap melakukan perbuatan jelik di dalam sebuah kereta di tempat awam.

Situasi yang paling mengejutkan suspek berusia 17 tahun itu masih mengenakan pakaian seragam kokurikulum.

Selain itu, bagaimana tanpa segan silunya seorang individu masih di bawah umur melakukan perbuatan itu dan hanya sedar selepas ditegur orang awam.

Apakah yang bermain di fikirannya, sama ada tidak tahu menilai, keliru atau tidak malu? Situasi ini harus mengambil pendekatan bagaimana mengurangkan risiko daripada perbualan di laman maya hingga ke tingkah laku seksual yang tidak dapat dikawal.

Namun, apakah pendekatan terbaik memberi pemahaman kepada generasi muda ini supaya lebih faham.

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, pendidikan seks boleh diintergrasikan dalam subjek pendidikan moral atau agama, bukan hanya dalam subjek sains.

“Justeru, ilmu yang mereka pelajari tentang pendidikan seks ini akan dapat meningkatkan disiplin pelajar. Sampai satu masa mereka juga akan merasakan perasaan suka kepada seseorang. Jadi, mereka tahu had dan batas yang boleh dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengulas lanjut peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dalam situasi begini.

“Ibu bapa sendiri perlu mengenal pasti apa yang sedang dilalui oleh anak mereka. Terutamanya apa yang ada di dalam telefon pintar mereka.

“Ibu bapa seharusnya tegas dalam membentuk anak-anak mereka dan beritahu sahaja kepada anak-anak mereka apa yang tidak boleh buat,” katanya.

Sementara itu, kajian yang dilakukan ahli akademik Sekolah Kriminologi dan Keadilan Jenayah di Florida Atlantic University bersama Pusat Penyelidikan Buli Siber mendapati remaja sentiasa bereksperimen dengan seksualiti mereka, antaranya dengan melakukannya sexting.

Seterusnya, pihak berkaitan perlu melangkaui pendidikan seks tanpa berasaskan ketakutan atau tidak membenarkan anak-anak ini mengetahuinya kerana keadaan akan menjadi buruk lagi jika tiada pendidikan langsung.

Antara perkara berkaitan sexting ini, jangan sekali-kali berkongsi maklumat atau teks berbau lucah kepada seseorang sama ada memberi atau menerimanya.

Apa yang penting ialah perlu menekankan bahayanya perkongsian foto anggota badan kepada seseorang yang tidak dikenali dan semua ini bermula daripada rumah untuk komunikasi yang berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd