Manchester, United Kingdom: Dua jaringan sendiri lewat perlawanan menyukarkan peluang Manchester United untuk mara ke separuh akhir Liga Europa selepas seri 2-2 dalam aksi peringkat pertama di Old Trafford awal pagi tadi.
Kemenangan hampir milik United selepas mendahului dua gol hasil jaringan Marcel Sabitzer dalam tempoh 21 minit pertama.
Namun mereka menerima padah ketiadaan pertahanan tengah Raphael Varane dan Lisandro Martinez akibat kecederaan apabila Tyrell Malacia dan Harry Maguire menjaringkan gol sendiri ketika permainan berbaki enam minit termasuk masa kecederaan.
“Kami menjaringkan dua gol sendiri, nasib buruk dan kami perlu bangkit selepas ini,” kata pengurus United Erik ten Hag. “Kami perlu belajar membunuh perlawanan tetapi semuanya masih terbuka.”
Skuad tuan rumah beraksi tanpa penjaring terbanyak mereka dengan 28 gol Marcus Rashford akibat kecederaan tetapi dia masih mampu memanaskan badan sebelum rehat.
Kehadiran semula Anthony Martial daripada kecederaan melegakan Ten Hag selepas Rashford terpaksa diketepikan beberapa minggu.
Pemain Perancis itu semakin menyerlah sejak jurulatih dari Belanda itu mengambil alih tugas dan Ten Hag berkata sebelum perlawanan skuadnya mampu cemerlang apabila Martial beraksi.
Gerakan dimulakan Martial membolehkan Fernandes menghantar bola kepada Sabitzer yang tenang meledak rembatan untuk gol pertama United.
Beberapa minit kemudian, Sabitzer yang hanya menjaringkan satu gol untuk United dalam 12 penampilan menambah gol kedua selepas mendapat hantaran cantik Martial.
Namun selepas Ten Hag merehatkan Fernandes dan Martial ketika permainan berbaki 30 minit, United seperti kehilangan taring sehingga membolehkan Sevilla merapatkan jurang apabila rembatan Jesus Navas dari sebelah kanan terkena kaki Malacia dan menerjah ke gawang sendiri.
Sevilla terus mengasak dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-92 selepas tandukan Youseff En-Nesyri yang terkena kepala Maguire menewaskan David De Gea.
United muncul satu-satunya kelab Inggeris kedua menjaringkan dua gol sendiri dalam satu perlawanan di kejohanan Eropah selepas Chelsea pada 2019 ketika menentang Ajax Amsterdam pada 2019.
© New Straits Times Press (M) Bhd




