sukan@hmetro.com.my
Melaka: Melaka menyasarkan untuk menakluki podium di Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di bandar raya terbabit pada 20 hingga 23 Julai ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Berbasikal Melaka (PBNM), Minhat Abd Rahman berkata, walaupun hanya menghantar pasukan junior dalam kategori ujian masa perseorangan dan lepas beramai-ramai, sasaran menaiki podium itu amat relevan.
Beliau berkata, biarpun kejohanan turut membabitkan kategori lelaki elit dan bawah 23 tahun serta wanita elit dan junior selain masters, skuad berkenaan memfokuskan dalam kategori junior pada penampilan di laman sendiri itu.
Menurutnya, semua pelumba berusia di bawah 18 tahun itu bakal menggunakan kelebihan aksi di laman sendiri untuk mencipta kejutan,
“Walaupun berlumba di tempat sendiri bukan keistimewaan mutlak, situasi terbabit memberi ruang buat pelumba untuk meraih kejayaan dalam kategori itu.
“Kejohanan ini jelas pendedahan kompetitif buat pelumba junior dalam persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak kerana mereka bakal bersaing dengan atlet muda terbaik di negara ini.
“Bagaimanapun, saya melihat saingan amat getir terutama daripada pelumba Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Johor kerana mereka turut memiliki atlet berbakat yang cemerlang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd