Pameran kereta Tokyo Auto Salon di Kuala Lumpur

Pameran kereta Tokyo Auto Salon di Kuala Lumpur

Pameran kereta khas yang diimpot terus dari Jepun dan penala (tuner) terunggul seperti Top Secret, Spoon, HKS dan Greddy antara yang akan menyerikan penganjuran sulung ‘Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023’.

Ia bakal diadakan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 9 hingga 11 Jun ini membabitkan ruang pameran seluas 130,000 kaki persegi.

Dijangkakan lebih 150,000 pengunjung tempatan dan serantau bakal menghadiri acara ini yang turut menawarkan peluang terbaik buat pemain automotif besar dan kecil di Malaysia serta Asean untuk mempamerkan produk juga perkhidmatan terbaharu mereka.

Lebih daripada 50 peratus ruang pameran sudah pun diisi dan antara pempamer disahkan hadir termasuk Red Springs Sdn Bhd yang akan mengendalikan pameran 4X4, Hot Wheels, EMMA Malaysia dan Soon Soon Garage.

Pemain automotif serantau yang turut menyertai pameran itu termasuk ‘Option 4 Wheel’ dari Thailand dan ‘Adtory-Minshing Brakes Automotives’ dari China.

Selain pameran tempatan dan antarabangsa, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur juga akan menampilkan kehadiran ratu perlumbaan dari Jepun.

Beberapa persembahan dan bengkel juga diatur sempena pameran itu malah pembeli tiket terawal layak untuk menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berbentuk perjalanan dan perbelanjaan berbayar ke Tokyo Auto Salon 2024 untuk dua pasangan bertuah.

Selama 40 tahun penganjuran Tokyo Auto Salon, ia berkembang menjadi satu daripada pertunjukan antarabangsa terulung bagi peminat dan peserta pameran.

Pada asalnya, pameran ini bermula untuk meraikan paparan inovatif dan kreatif bagi kereta keluaran Jepun, namun kini merangkumi semua jenama dan jenis kenderaan.

Tiket berharga RM60 dan RM28 sehari bagi dewasa serta kanak-kanak.

Pameran ini dianjurkan bersama oleh MUSE Group Asia dan Element X Strategies, dengan gandingan San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon.

© New Straits Times Press (M) Bhd