Pemilik tindas penyewa kena harga tinggi

Pemilik tindas penyewa kena harga tinggi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Permintaan tinggi terhadap rumah sewa di Lembah Klang dijadikan peluang oleh pemilik menawarkan sewaan tinggi tanpa mempedulikan kesesuaian rumah.

Keadaan ini menekan penyewa terutama dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi kerana tiada pilihan, selain perlu membayar kadar ditetapkan.

Tinjauan wartawan TV9 mendapati rata-rata penyewa di sekitar Lembah Klang mengakui harga sewa dikenakan melampau dan berbeza mengikut profesion.

Penuntut Aiman Akmal Azmi berkata, kadar sewa bilik ketika ini tidak masuk akal dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

“Kita tahu sekitar Lembah Klang ramai pelajar tinggal menyewa dan harga berbeza dikenakan terhadap pelajar tidak wajar,” katanya.

Bagi pekerja swasta Aslam Husaini yang menyewa bilik kecil di ibu kota berkata, kadar sewa dikenakan tidak berbaloi.

“Rumah saya duduk asalnya ada tiga bilik, tapi selepas saya masuk, dia (pemilik) buat penghadang sehingga jadi enam bilik.

“Jika tidak dipantau, mereka terus menindas penyewa seperti saya,” katanya.

Penuntut, Muhammad Fadhlan Mat Fazil yang tinggal di Shah Alam berkata, pemilik mengenakan sewa antara RM800 hingga RM900 menyebabkan dia tidak mampu menyewanya.

“Rumah kecil tapi tinggal 10 orang. Sebab pemilik nak untung lebih jadi ‘sumbat’ ramai penyewa dalam rumah sempit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Dr Suraya Ismail berkata, peluang pekerjaan  yang tertumpu di Lembah Klang mewujudkan permintaan tinggi untuk sewa  kediaman.

Beliau berkata, melihat potensi besar mengaut untung menyebabkan pemilik sewenangnya menawarkan sewaan tinggi tanpa melihat kesesuaian rumah.

“Sebenarnya di Malaysia tiada data mengenai harga sewa, ia tidak diformalkan jika ada transaksi dan perjanjian sewa beli serta cop duti setem, ia terbuka tapi bukan dengan sewa. Jadi sewa adalah kontrak antara penyewa dan pemilik.

“Perkara ini berleluasa di Kuala Lumpur kerana mungkin semua orang mendapatkannya terutama pemilik rumah mendapatkan pelbagai sewa dalam satu rumah. Satu pecah kepada empat keluarga kadang kala sehingga lapan orang bujang dan ini masalah sebenar kita,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan undang-undang mengawal selia kontrak tuan rumah dan penyewa  menyebabkan golongan pemilik ‘kebal’ tanpa tindakan.

Justeru, beliau melihat ada keperluan mewujudkan  akta baharu untuk melindungi hak penyewa selain mengekang perkara itu daripada berleluasa.

“Rumah tiga bilik maka tiga penyewa. Tapi sekarang ruang rumah ditambah tiga bilik lagi sehingga menjadi enam bilik. Itu tidak boleh,” katanya yang berharap penyewa membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ir Dr Nora Aznieta Abd Aziz berkata, pengubahsuaian dibuat dalam ruang kediaman biasanya sukar dipantau PBT, malah terdapat kemungkinan pemilik tidak memohon kebenaran.

Mengambil kira sudut kejuruteraan, kerosakan struktur timbul apabila beban berlebihan dikenakan ke atas binaan.

Menggunakan papan lapis atau bata ringan tidak memberi mudarat besar kepada struktur bangunan namun berisiko mengundang kecelakaan sekiranya kebakaran.

“Apa yang saya tahu memang tidak ada akta memperuntukkan pemilik atau penyewa membuat aduan.

“Bagi memperbaiki keadaan itu, kita perlu melihat apa dilakukan negara membangun contohnya Singapura yang memperuntukkan secara jelas ubah suai dibenarkan dan bilangan penghuni setiap kediaman,” katanya.

Katanya, penyewa tidak boleh membiarkan mereka ditekan  kerana ada hak mempersoalkan kediaman yang tidak menitikberat aspek keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd