sukan@hmetro.com.my
Georgetown: Penang FC melakar kemenangan kedua di laman sendiri selepas menundukkan PDRM FC, 4-2 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Bagaimanapun, PDRM FC bermula garang apabila Marcus Macauley memanfaatkan kealpaan pertahanan tuan rumah dan membuka akaun jaringan pertamanya bersama Sang Saka Biru seawal minit ketiga.
Menariknya, jaringan itu menjelma hasil ‘bantuan’ pemain pertahanan tuan rumah, Zaw Min Tun yang cuba melorongkan bola kepada penjaga gol, Azfar Arif sebelum pantas disambar Marcus yang bijak memanfaatkan peluang terhidang.
Bagaimanapun, kesilapan pertahanan PDRM FC, James Okwuosa bagai ‘membalas budi’ apabila dia tertampan bola di gawang sendiri, sekali gus menjadi kedudukan 1-1 pada minit ke-11.
Penyerang Penang, Sonny Saad menjarakkan kedudukan bagi membolehkan pasukan tuan rumah bangkit mengatasi kem pelawat 2-1 pada minit ke-16.
Sang Saka Biru terus mengasak dengan kapten pasukan, Azmi Muslim menjadi duri dalam daging apabila mencetak gol penyamaan 2-2 melalui tendangan kaki kanannya pada minit ke-28.
Rembatan kencang Saad kembali meletakkan Penang di hadapan dan mendahului 3-2 pada minit ke-69.
Kemasukan pemain gantian, Rahmat Makasuf tidak sia-sia apabila pemain berusia 25 tahun itu mencetak gol keempat Penang hasil hantaran Faizat Ghazali pada masa kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


