Penghibur hati lara

Penghibur hati lara

georgie@hmetro.com.my

KONSERT Dream Festival Collaboration: Nidji x Budi Doremi anjuran Inspire IDN berlangsung baru-baru ini di Zepp, Kuala Lumpur yang turut menampilkan Aisha Retno sebagai artis pembuka boleh disifatkan sebagai konsert penghibur hati lara.

Transisi mood lebih 2,000 penonton pelbagai lapisan umur yang hadir bertukar seiring transisi kehangatan persembahan atas pentas. Yang pada awalnya kaku, kemudian mula membuka mulut, bergoyang sedikit, kemudian akhirnya meloncat dan berteriak di bahagian penamat.

Adrenalina penonton paling membuak tatkala Nidji mengambil alih pentas kerana hakikatnya rata-rata yang hadir memang ingin lihat mereka. Peminat tegar kumpulan itu ingin mengubat kerinduan melihat aksi mereka semula.

Tidak dinafikan, perasaannya pasti berbeza dengan ketiadaan bekas penyanyi utamanya, Giring. Sudah digantikan Yusuf Ubay tidak lama dulu, tentu peminat berbagi rasa sama ada Nidji mampu puaskan mereka sebagaimana bersama Giring dulu.

Ternyata, Yusuf berjaya menggalas tanggungjawab itu dengan cukup mengejutkan dan cemerlang. Ramai turut memuji tenaganya dengan cara tersendiri menakluk pentas yang jelas memberi impak mengagumkan.

“Terima kasih yang terus menyokong Nidji sehingga kemasukan saya. Saya memang tidak minta lebih, tapi melihat tenaga kamu pada malam ini, membuatkan apa saya usahakan selama ini sangat berbaloi,” katanya.

Selain Yusuf sebagai pengganti penyanyi utama, anggota lainnya termasuk Andi Ariel Harsya (gitar), Ramadhista Akbar (gitar), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboard) dan Adri Prakarsa (dram) tetap mantap seperti selalu.

Hakikatnya, corak persembahan mereka semakin ‘buas’ membuatkan Yusuf pamerkan lebih usaha pada nyanyian serta staminanya. Dan sebenarnya, saling melengkapi sesama mereka

itu jadikan keseluruhan persembahan lebih istimewa.

“Sudah lama juga kami tidak beraksi di sini dan kami gembira dapat tunjukkan persembahan yang terbaik buat kamu. Semoga kamu semua terus terhibur dan tidak berhenti menyokong perjalanan kami,” kata Andro pula.

Nidji mendendangkan lagu Laskar Pelangi (duet Budi Doremi), Arti Sahabat, Kau Dan Aku, Sudah, Bila Aku Jatuh Cinta, Wadoow, Sumpah dan Cinta Matiku, Teroesir, Hapus Aku, Disco Lazy Time dan Biarlah pada konsert itu.

Penghibur kedua Budi Doremi atau nama sebenarnya Budi Syahbudin Syukur, 39, mungkin agak asing buat peminat di sini. Hal itu terserlah pada awal persembahannya di mana penonton kurang memberi perhatian dan tak kenal lagunya.

Bagaimanapun, kegigihan Budi memikat hati penonton membuktikan bahawa dia adalah penghibur yang bijak. Dia tahu kekurangannya di mana, tapi enggan jadikan alasan itu untuk tidak pamerkan aksi memuaskan.

“Ada yang tahu lagu saya tak? Mungkin tidak ramai atau langsung tak tahu lagu saya kan? Tidak apa, kita santai saja malam ini dan saya sudah cukup syukur jika kamu semua mampu terhibur dengan nyanyian saya,” katanya.

Budi bagaimanapun berjaya menukar atmosfera sebaik dia menyanyikan tiga lagu popularnya iaitu Tak Kan Hilang, Melukis Senja dan Mesin Waktu. Barulah kedengaran kuat penonton menyanyi bersama.

Lebih menggamatkan suasana apabila dia persembahkan lagu rancak Suka Suka (Yang Penting Bahagia) dengan cukup nakal. Kehangatan lebih terasa apabila ada kalangan penonton menari panaskan badan.

Selain lagu terbabit, turut dinyanyikannya adalah Peace, Love and Thank You, 123456, Tolong, Asmara Nusantara, Terukir Di Bintang (duet Aisha Retno) dan Doremi (duet Nidji).

Aisha tidak ketinggalan mendapat sokongan gemuruh daripada penonton tatkala membuka acara. Penampilan bersahajanya atas pentas membuktikan dia semakin matang sebagai penghibur semula jadi.

Menyanyikan rangkaian lagu hitnya termasuk W.H.U.T, dia bijak berinterkasi dan mengusik penonton dengan celotehnya. Sewaktu menyanyikan lagu Tak Ingin Usai, penonton tidak ketinggalan sama-sama bantunya menyanyi.

© New Straits Times Press (M) Bhd