Perlunya pemimpin berprestasi

Perlunya pemimpin berprestasi

Sesebuah institusi memerlukan pemimpin berkaliber untuk mengetuai hala tuju masa hadapan. Pemimpin datang dan pergi, maka cabaran dalam memastikan kepemimpinan yang dinamik, berprestasi tinggi serta sempurna ilmunya turut menjadi tanggungjawab institusi. Pentadbir sumber manusia harus bekerja rapat dengan pengurusan atasan untuk memastikan program latihan dan pembangunan yang sesuai bagi mengisi pelan penggantian melibatkan calon bakat berpotensi.

Pelan penggantian dan program latihan yang kreatif serta menyeluruh perlu dicorakkan dalam menyediakan pemimpin muda yang kurang pengalaman mentadbir tetapi tinggi dengan keazaman untuk membawa perubahan dan idea-idea baharu. Seringkali berlaku, generasi yang lebih berpengalaman tidak berminat untuk memegang jawatan lebih tinggi kerana merasakan dalam tempoh perkhidmatan sebelumnya, pernah berlaku perbezaan pandangan atau pengalaman kurang baik sehingga timbul persengketaan antara staf dalam organisasi.

Ini menyebabkan kebimbangan mereka tidak mendapat sokongan jitu sekiranya diberi tanggungjawab memegang sesuatu jawatan strategik. Pemimpin muda membawa perspektif baharu dan cara pemikiran yang berbeza kepada organisasi. Kebanyakan pemimpin muda bersemangat untuk belajar, membina pengalaman dan menggunakan kemahiran mereka khususnya kelebihan dari aspek teknologi dan teknikal. Semangat ini bagus untuk pembinaan pasukan, produktiviti dan semangat kerja.

Mutakhir ini lebih banyak peluang diberikan juga kepada kepemimpinan wanita yang berbakat. Ini perkembangan luar biasa kerana walaupun sibuk dengan urusan rumah tangga dan menguruskan anak-anak masih mampu untuk memikul tanggungjawab besar selaku pemimpin jawatan strategik organisasi. Maka potensi pemimpin wanita berbakat tidak seharusnya dinafikan sekiranya mereka mampu menyumbang dan menjadi aset pentadbiran organisasi.

Ilmu yang lengkap amat penting bagi setiap individu bergelar pemimpin. Bagaimana hendak memimpin sekiranya diri sendiri atau kumpulan pemimpin itu tidak mempunyai ilmu yang cukup? Kesudahannya, berleluasa kejahilan seperti yang dicerminkan melalui polisi atau dasar yang dibentuk dan keputusan yang dibuat. Daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya daripada (dada) hamba-hambanya. Tetapi Dia mencabut ilmu dengan mencabut (nyawa) para ulama. Hingga bila sudah tidak ditinggalkan sesiapa lagi yang alim (berilmu), manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin. Bila mereka ditanya, mereka membuat keputusan tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula.” (Riwayat Al-Bukhari).

Ilmu juga adalah salah satu asas kepada kaedah kepemimpinan berteraskan Qalb (hati/Qalbu) iaitu iman, ilmu dan nafsu. Qalb menjadi sakit apabila kekurangan iman dan perlunya ilmu untuk meningkatkan iman yang akhirnya menghindari daripada hawa nafsu. Oleh yang demikian, setiap institusi mempunyai peranan yang amat besar dalam meningkatkan kecintaan warga terhadap ilmu melalui halaqah-halaqah ilmu. Institusi juga perlu memberi peluang rehlah ilmu kepada warganya untuk membuka mata dan minda serta pengalaman yang akhirnya mampu membentuk pemimpin yang berprestasi tinggi.

Kepemimpinan berprestasi tinggi di dalam sesebuah organisasi ialah apabila seseorang pemimpin dapat melenturkan gaya kepemimpinan mereka mengikut situasi yang dihadapi dan mereka juga menyasarkan untuk mencapai keputusan yang luar biasa dalam tempoh masa yang ketara dan dikehendaki mengurus minda, emosi dan masa jika mereka ingin mencapai hasil terbaik.

Pemimpin dalam kategori ini juga kebiasaannya seorang yang mahir serta tahu secara mendalam tugas atau peranan mereka, seorang yang sentiasa berfikir pada aras tinggi, fokus, tidak mementingkan diri dan tidak mudah mengaku kalah. Kendatipun, kekuatan spiritual juga adalah antara perkara yang membezakan pemimpin biasa dan berprestasi tinggi tanpa melihat kepada jawatan semata-mata.

Kepemimpinan dalam Islam tidak melihat jawatan sebagai tasyrif atau kemuliaan tetapi taklif atau tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Justeru, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Adabnya, jawatan tidak boleh diminta, tetapi jika dicalonkan atau oleh ahli atau diberi amanah oleh pihak yang berautoriti, tidak boleh ditolak. Seseorang yang ikhlas dalam tugas kepemimpinan akan dibantu oleh Allah SWT serta dipermudahkan segala urusannya. Allah SWT akan membantu pemimpin yang ikhlas, bertanggungjawab, tawaduk dan selalu mohon bantuan-Nya. Pemimpin adalah juga hamba yang mempunyai hubungan dengan Allah (Hablum Minallah) dan masih meneruskan hubungan sesama manusia (Habluminannas).

Ironinya, pemimpin lama dan pemimpin muda organisasi adalah aset. Kedua-duanya saling diperlukan untuk memastikan kesinambungan dan halatuju organisasi di landasan yang betul. Pengalaman menjadi pemimpin adalah sesuatu yang unik, tidak dilalui semua pemimpin dan berbeza pengalamannya mengikut situasi dan zaman. Pengalaman itu sesuai diwarisi sebagai satu ilmu berpandukan konsep pemimpin mursyid yang memberi tunjuk ajar perkara berlandaskan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki.

Penulis Ts Mohd Rafizi Rahmad Timbalan Pendaftar Kanan Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM dan Dr Wan Ismahanini Ismail Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor UiTM

© New Straits Times Press (M) Bhd