firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa pasukan yang pernah layak ke Piala Dunia seperti New Zealand, Trinidad and Tobago dan beberapa lagi mungkin boleh menjadi lawan skuad Harimau Malaya selepas ini apabila ranking pasukan negara dijangka naik mendadak selepas ini.
Kedudukan ranking skuad Harimau Malaya dijangka melonjak ke kedudukan 139 atau 140 dunia susulan kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan antarabangsa tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lalu, di mana New Zealand ketika ini pada posisi 105 manakala Trinidad and Tobago pula 104.
Gol kemenangan yang disumbangkan Akhyar Rashid itu menyaksikan anak buah Kim Pan-gon meraih 5.273 mata sekaligus memperbaiki kedudukan daripada 145 ketika ini untuk naik dengan mengumpul 1077.26 mata.
Malah, jika Malaysia mampu menewaskan Hong Kong dalam aksi persahabatan kedua Selasa ini, kedudukan skuad negara dijangka terus kukuh untuk menghuni dalam kedudukan 139 dunia.
Berdasarkan perkiraan tidak rasmi, kemenangan ke atas Hong Kong bakal menghadiahkan tambahan 4.821 mata.
Jika sebaliknya berlaku, skuad bimbingan Pan-gon bakal kehilangan 5.179 mata dan sekiranya seri, pasukan kebangsaan hanya akan memungut 0.179 mata.
Lantas kemenangan ke atas Hong Kong cukup mustahak dalam memastikan Malaysia terus mendaki carta ranking Fifa.
Pelbagai manfaat mampu diraih menerusi peningkatan ranking itu, antaranya pasukan negara mudah untuk mencari lawan yang lebih berkualiti dalam aksi persahabatan selepas ini, selain membuka pintu buat pemain negara menembusi pasaran liga luar.
Selain itu, ia juga menjamin tempat buat skuad Harimau Malaya ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 tanpa perlu menempuh aksi peringkat pertama kelayakan bagi zon Asia.
Malah, posisi ranking juga akan mempengaruhi penentuan balang undian Kelayakan Piala Asia 2027 nanti.
Ranking muktamad akan dikemaskini Fifa pada 6 April ini meliputi keputusan aksi di jendela antarabangsa ketika ini.
Sebagai rekod, kedudukan paling tinggi pernah dicapai skuad Harimau Malaya adalah di tangga 75 dunia pada Ogos 1993, manakala posisi paling buruk adalah pada Mac 2018 apabila berada di kedudukan 178 dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd


