Tema alam semula jadi

Tema alam semula jadi

razis@mediaprima.com.my

KAJIAN mendapati tanaman hijau yang diletakkan dalam rumah bukan sahaja menjadi pelengkap dekorasi, malah dapat membantu mengurangkan tekanan atau stres pemilik atau penghuni rumah.

Inisiatif sama diambil pereka grafik, Muhammad Syafiq Azman, 28, yang mula menanam pelbagai pokok hiasan bersama isteri, Wahida Amalin Atan, 25, di rumah mereka sejak setahun lalu sebelum diteruskan di rumah baharu mereka berkeluasan 900 kaki persegi di Kajang, Selangor.

Melangkah masuk ke rumah jenis kondominium milik pasangan itu, pasti tetamu terkejut melihat ‘hutan mini’ di balkoni yang dipenuhi pelbagai pokok hijau segar menghijau.

Apa tidaknya, ruang balkoni yang mempunyai keluasan terhad dimanfaatkan dengan menanam lebih 50 pokok hiasan segar yang unik dan menarik.

Muhammad Syafiq berkata, pada mulanya dia sekadar ingin menghias balkoni dan terpengaruh dengan tip berkaitan aktiviti bercucuk tanam boleh meningkatkan produktiviti dan kesihatan mental.

“Dari situ bermulanya minat untuk terus menghiasi rumah dengan tema alam semula jadi. Sejak itu, saya mula mendalami ilmu berkenaan pokok hiasan supaya dapat memberikan penjagaan terbaik.

“Saya lihat aktiviti bersama pokok ini amat berkesan sebagai terapi minda yang sangat membantu untuk kembali fokus dan produktif,” katanya.

Dia mengakui sebelum ini lebih menyukai pokok berbunga yang berwarna-warni berbanding pokok berdaun hijau.

“Saya difahamkan pokok berbunga dan berbuah perlu disiram dan dibaja lebih kerap berbanding pokok hiasan berdaun. Disebabkan terikat dengan komitmen kerja yang sangat padat, saya memilih pokok jenis berdaun sebagai hiasan.

“Selain itu, pokok hiasan berdaun ini lebih sesuai ditanam di rumah saya yang hanya menerima tiga hingga empat jam cahaya matahari pada sebelah pagi.

“Lama-kelamaan, saya tertarik dengan pokok yang berwarna hijau yang secara tidak langsung dapat memberikan saya ketenangan dan kedamaian,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini jumlah pokok yang dimiliki melebihi 50 jenis termasuk Monstera dan philodendron.

“Pada mulanya saya meminati pokok jenis Alocasia. Namun, apabila mengetahui cabaran untuk menjaganya seperti memerlukan cahaya yang cukup, serangga perosak dan sebagainya, saya beralih kepada pokok monstera.

“Saya juga meminati pokok Philodendron kerana lebih senang untuk dijaga,” katanya.

Katanya, dia amat tertarik pokok jenis Monstera deliciosa kerana memiliki bentuk yang unik.

“Daun yang terbelah dan berlubang menjadikan pokok ini sangat unik. Saya menanam pokok ini dalam rumah dan di balkoni,” katanya.

Tambahnya, untuk penjagaan pokok hiasan, dia amat menitikbera

tkan aspek pencahayaan dan kelembapan kerana kondominiumnya kurang terdedah dengan cahaya.

“Oleh itu, saya perlu mencari pokok dan membuat susun atur yang sesuai dengan keperluan setiap pokok supaya ia dapat hidup dengan baik.

“Sebagai contoh, pokok jenis Philodendron yang sukakan cahaya terang, namun bukan secara terus, saya akan letakkan ia di bawah pokok yang boleh terima cahaya matahari secara terus,” katanya.

Menyedari mempunyai ruang yang terhad, kebanyakan pokok hiasannya diletakkan di ruang balkoni rumahnya.

“Pokok diletakkan atas rak kayu dan dinding. Saya memanfaatkan dinding untuk dijadikan sebagai ‘plant hanging wall’ untuk mendapatkan suasana seperti berada dalam hutan sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, dia juga aktif berkongsi tip menanam pokok hiasan dengan pengikutnya di media sosialnya.

“Saya gembira dapat berkongsi keriangan, keseronokan dan ketenangan aktiviti berkebun terutama kepada mereka yang baru berjinak-jinak,” katanya.

Bagi individu yang berminat untuk mengikut jejak langkahnya, Muhammad Syafiq menyarankan supaya mendapatkan maklumat berkenaan pokok dan susun atur yang sesuai dengan rumah.

“Pastikan pokok sentiasa dijaga dan terkawal dari serangga perosak dan elakkan daripada menggunakan baja berlebihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd