Lampard sah kembali bimbing Chelsea

Lampard sah kembali bimbing Chelsea

London: Frank Lampard membuat kejutan kembali ke Chelsea sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim ini, hanya lebih dua tahun selepas dia dipecat oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Penjaring terbanyak Chelsea itu pernah mengendalikan The Blues dari Julai 2019 hingga Januari 2021 sebelum digantikan oleh Thomas Tuchel.

Keputusan yang tidak dijangka itu berlaku selepas pengganti Tuchel, Graham Potter dipecat pada Ahad lalu, dengan kelab ketika ini bergelut di pertengahan liga.

“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Frank kembali ke Stamford Bridge,” kata pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dan Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.

“Frank adalah anggota Dewan Kemasyhuran Liga Perdana dan seorang legenda di kelab ini.

“Ketika kami meneruskan proses usaha bagi mendapatkan ketua jurulatih tetap, kami mahu memastikan kelab dan penyokong jelas dengan rancangan untuk baki musim ini.”

Kenyataan itu berkata: “Lampard mempunyai semua ciri dan kualiti yang kami perlukan untuk membimbing kami sehingga hujung musim.”

Bekas pemain tengah England itu kehilangan pekerjaan sejak Januari apabila beliau dipecat oleh Everton yang pernah berada di zon penyingkiran selepas tidak sampai setahun membimbing kelab itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd