mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC terus mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Perak FC, 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Misi mahu meraih kemenangan selepas menundukkan Sabah FC, tempoh hari mendorong barisan anak buah Bojan Hodak beraksi dengan cukup cemerlang melakukan serangan berbahaya sebaik babak pertama bermula.
Skuad The City Boys hampir berada di hadapan pada awal permainan, namun bola hasil gerakan menarik Romel Morales dan Paulo Josue gagal menerjah jaring.
Perak kendalian Datuk Lim Teong Kim yang dibarisi pemain muda pula dilihat kurang melancarkan serangan berbahaya dan lebih banyak bertahan bagi mengelak gol mereka dibolosi.
Namun, kesilapan penjaga gol Perak FC T Shaheeswaran gagal menampan kemas sepakan percuma lewat separuh masa pertama menyebabkan bola muntah disambar tonggak import KL City, Sebastian Avanzini untuk mendahului perlawanan 1-0.
Memasuki babak kedua menyaksikan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan berbahaya bagi merobek kubu lawan.
Namun, tiada sebarang jaringan dicipta dan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas T Saravanan menerima kad kuning kedua sebelum diarahkan keluar padang.
Skuad Bos Gaurus yang melakukan sekurang-kurangnya dua pertukaran pemain gagal mengambil kesempatan terbabit, sekali gus menyaksikan perlawanan kekal dengan keputusan 1-0.
Perak FC yang kini menghuni tangga ke-11 Liga Super terus merekodkan kekalahan kelima dengan lima mata manakala KL City pula di kedudukan kelapan dengan sembilan mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd


