syafil.syazwan@hmetro.com.my
BULAN Ramadan menjadi bulan di mana setiap umat Islam, berpusu-pusu mengejar pahala menerusi pelbagai bentuk ibadah.
Bagi pengarah dan pelakon, Erma Fatima, kehadiran bulan Ramadan menjadi ruang untuk Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia (YSKPM) yang dikelolakannya, menyumbang kepada masyarakat.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, YSKPM sekali lagi menganjurkan acara majlis berbuka puasa untuk menyantuni anak-anak yatim dan warga emas, sekali gus berkolaborasi dengan Shopee untuk menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Malam Kasih Ramadan Shopee x YSKPM baru-baru ini.
Berkesempatan bersua muka dengan bintang utama drama bersiri Mak Cun ini, Erma berkongsi mengenai objektif utama penganjuran acara dan penubuhan yayasan yang ditubuhkan sejak 2005 itu.
“Yayasan ini saya tubuhkan sejak 2005 dan objektifnya adalah untuk hanya melakukan kebajikan. Kami bukan menjaga artis, tetapi, mengajak artis-artis tanah air untuk bersama terbabit melakukan kerja-kerja kebajikan dan menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Ini adalah majlis tahunan yang kami anjurkan dan untuk acara tahun ini, kami jemput anak-anak yatim dari luar Kuala Lumpur iaitu dari Taiping, Pulau Pinang dan Melaka.
“Seramai 100 anak yatim dan 30 warga emas yang diraikan dalam program dua hari satu malam yang kami anjurkan. Jadi, mereka bermalam di satu chalet di Hulu Langat di samping terbabit dalam beberapa program seperti merewang, gunting rambut secara percuma, persiapan baju Raya dan bermain bunga api. Semuanya untuk menghiburkan hati mereka dalam bulan mulia ini.
“Acara ini bukan kali pertama, sebab kami dah anjurkan hampir setiap tahun. Seperti kebiasaan, kami akan dapatkan hotel besar yang menyajikan banyak juadah berbuka. Kami nak mereka turut sama merasakan nikmat berbuka puasa itu dengan pelbagai juadah,” katanya.
Tidak sekadar majlis berbuka puasa, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi popular antaranya, Ziana Zain dan Nuha Bahrin.
“Artis yang terbabit dalam acara kali ini pun, adalah dalam kalangan mereka yang mudah memberikan kerjasama. Tak semua benda yang kita buat, adalah untuk duit kerana ada ketikanya kita melakukan sesuatu dengan niat untuk beramal.
“Mereka yang hadir semuanya tak dibayar. Bukan sekadar mereka yang hadir sebagai tetamu, tetapi juga artis-artis yang membuat persembahan seperti Ziana Zain dan Nuha Bahrin.
“Saya jenis yang akan berterus terang kepada rakan-rakan artis yang saya jemput. Kalau tak ada duit, saya akan beritahu, dan kalau ada duit, saya beritahu juga. Jadi, terpulang kepada mereka untuk terbabit ataupun tidak,” katanya.
Ramadan ini juga menyaksikan pelbagai program yang diatur oleh YSKPM untuk masyarakat yang ingin belajar mengaji.
“Ramadan adalah masa untuk kita semua umat Islam, mengumpul pahala.
“Dalam bulan ini juga, ada pelbagai aktiviti lain yang kami anjurkan. Antaranya, di bawah YSKP, kami ada Ribath Fatimah Az Zahra, yang mana, menyediakan rumah mengaji secara percuma.
“Rumah mengaji ini terbuka untuk semua lapisan usia dan boleh disertai secara percuma,” katanya.
Selain itu, YSKPM juga akan turut terbabit dalam acara Raya Sakan Mak Cun 2023 yang bakal berlangsung pada 13 hingga 16 April di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia, Alor Star dengan pelbagai aktiviti menarik.
“YSKP juga akan menyumbangkan sumbangan dalam bentuk bakul makanan kepada 500 fakir miskin di Kedah. Selain itu, di program sama, kami akan anjurkan tarawih perdana yang akan membabitkan sekitar 2,000 hingga 3,000 jemaah, bertempat di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia, Alor Star.
Terbaharu, syarikat produksinya kini terbabit dalam penggambaran naskhah berjudul Kami Orang KL.
Selain itu, drama bersiri Mak Cun juga akan kembali ke set penggambaran untuk musim ketujuh selepas dua tahun berehat.
© New Straits Times Press (M) Bhd


