Augusta: Penonton yang berada dalam keadaan ketakutan di saingan golf Masters berjaya mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan selepas tiga batang pokok pain tinggi tumbang berhampiran mereka di Augusta National.
Insiden berkenaan berlaku di tee ke-17 sebelum saingan pusingan kedua dihentikan berikutan cuaca buruk.
Pokok berkenaan tumbang menyembah bumi berhampiran penonton, tetapi penganjur berkata bahawa tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Augusta National Golf Club mengesahkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan daripada tiga pokok yang tumbang di sebelah kiri tee No. 17 akibat angin kuat,” kata tuan rumah itu dalam satu kenyataan.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua orang yang menghadiri saingan Masters akan sentiasa menjadi keutamaan kelab. Kami akan terus memantau cuaca hari ini dan baki kejohanan.”
Tidak lama selepas pokok tumbang, penganjur mengumumkan bahawa permainan dihentikan dan penonton dipindahkan dari padang Augusta National, yang dilanda angin kencang.
Pengumuman mengatakan ribut petir menghampiri kawasan itu dengan angin kencang dan kilat.
Pokok pain yang menjulang tinggi adalah ikonik kepada kejohanan itu.
Pemain telah dikeluarkan dari lapangan dengan 39 daripada mereka masih belum menamatkan pusingan kedua di Augusta National dan keputusan kemudian diambil untuk memulakan semula pada hari berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

