Sanusi akan bayar ganti rugi saman fitnah Mahfuz berjumlah RM120,000

Sanusi akan bayar ganti rugi saman fitnah Mahfuz berjumlah RM120,000

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia membayar ganti rugi berjumlah RM120,000 kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar, yang diputuskan Mahkamah Rayuan, Putrajaya semalam.

Katanya, beliau akan bertanggung jawab melunaskan tuntutan yang dibuat pihak berkenaan selepas mahkamah mendapatinya bersalah.

“Hantaran inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50,000 didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat ‘counter appeal’ untuk tuntut lebih tinggi. Apabila sudah didapati bersalah dengan hantaran ini, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha membayar berapa pun harganya,” katanya pada kenyataan di akaun Facebook (FB) beliau hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi menegaskan, pihaknya tidak sama sekali mengambil mudah isu berkaitan judi selepas kerajaan negeri menutup sepenuhnya operasi premis perjudian.

“Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidaklah sekali sekali…wallahu a’lam,” katanya.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun FBnya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi Parlimen Pokok Sena dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa, Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi tujuh minit 57 saat di akaun FBnya pada 27 Julai 2019, memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Berikutan itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menjelaskan, sebagai ahli dan pimpinan PAS, beliau serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah sebaik mengambil alih kerajaan negeri pada 17 Mei 2020.

Katanya, satu langkah besar dibuat mulai 2021 hingga 2022 untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah, apabila lesen sedia ada tamat beransur-ansur daripada 2021 sehingga Disember 2022.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menerusi FB memaklumkan, Majlis Berbuka Puasa Anak Kedah di Perantauan yang dibatalkan sebelum ini, akan diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor pada 9 April ini.

Sebelum ini, majlis itu dijadual berlangsung di Dewan A MAEPS, Serdang namun ia dibatalkan selepas Muhammad Sanusi mendakwa pengurusan menarik balik kebenaran menggunakan dewan berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Muhammad Sanusi sehari selepas beliau mendakwa dihalang menghadiri semua program anjuran Kerajaan Pusat pada 29 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd