Selangor mudah benam Kelantan

Selangor mudah benam Kelantan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor terus mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan teratas Liga Super selepas menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan Selangor merampas kedudukan kedua daripada Kedah Darul Aman (KDA) yang mengalami kekalahan besar 0-6 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Ayam tambatan Selangor, Ayron Del Valle membuka tirai jaringan pada minit ke-27 apabila menyudahkan hantaran lintang Brendan Gan.

Ketika masa sebenar perlawanan berbaki 10 minit, Rauf Salifu mengukuhkan kedudukan buat Gergasi Merah apabila penyerang dari Ghana itu meledak gol kedua.

Kesilapan penjaga gol Kelantan, Rozaimi Rahamat gagal menangkap kemas bola pada minit ke-90 membolehkan Salifu meledak gol kedua peribadinya, sekali gus mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut Selangor sepanjang Ramadan.

Anak buah Tan Cheng Hoe kini mengumpul 19 mata, lima mata di belakang pendahulu, JDT dan tiga mata di depan KDA yang menghuni tangga ketiga.

Kelantan yang baru melantik Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih baharu berada di kedudukan kedua tercorot dengan hanya mengumpul empat mata selepas lapan perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd