ferzalfie@hmetro.com.my
Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan berada di bawah program berkenaan bagi memburu pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, buat masa ini mereka tidak dapat mengumumkan nama atlet terpilih mengambil kira pandangan disuarakan tiga bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG iaitu Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi dan Datuk Nicol David.
“Kita bincang dengan bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG, kita masukkan mereka untuk mendapatkan perspektif atlet. Perbincangan awal dengan mereka, mereka minta jawatankuasa jangan senarai dan umumkan dulu,” katanya dalam sidang media di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Ujar Hannah, ia adalah dari segi perspektif atlet kerana tempoh kelayakan (ke Sukan Olimpik) masih berjalan.
“Mereka mungkin ada sebab tertentu tetapi kita belum bincang dengan teliti kerana seperti saya katakan mesyuarat pertama akan diadakan minggu ini. Saya mahu menghormati perspektif atlet dan kalau ikutkan dari segi pentadbir, kita suka saja untuk umumkan tetapi perspektif atlet berlainan,” katanya.
Tambah Hannah, proses perjumpaan dengan atlet berpotensi masih dijalankan dan belum berakhir, manakala jawatankuasa RTG akan mempunyai beberapa siri mesyuarat serta semakan berkala terhadap atlet tersenarai.
“Sebagai contoh, hari ini, seseorang atlet itu berada di ranking ke-10 dunia dan dia layak menerima bentuk bantuan dalam RTG, namun pada tahun hadapan mungkin dia tidak lagi layak.
“Malah mungkin akan ada atlet baharu melayakkan diri ke Olimpik, jadi kita tidak mahu mengumumkan senarai palsu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


