saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Serangan siber menerusi kaedah ‘bruteforce’ menurun sehingga 49 peratus tahun lalu berbanding tempoh sama ketika pandemik iaitu pada 2020 yang merekodkan 147 juta serangan di rantau Asia Tenggara.
Serangan bruteforce adalah satu kaedah untuk mencari kata laluan bagi sesebuah akaun menggunakan teknik sistematik serta teratur kepada pengguna sehingga berjaya menemui kombinasi kata laluan yang betul.
Malaysia menduduki tempat keempat pada 2020 dengan 12 juta serangan dan meningkat pada 2021 dengan 13 juta serangan.
Bagaimanapun, jumlah serangan menurun tahun lalu iaitu hanya empat juta.
Syarikat keselamatan siber, Kaspersky mendedahkan laporan serangan berkenaan mengalami penurunan paling drastik pada tahun lalu.
Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, ia satu yang positif namun pengguna perlu terus berwaspada.
“Jika dilihat faktor penurunan itu, ia berlaku apabila kebanyakan firma sudah membatalkan kaedah bekerja secara hibrid atau dari rumah sebaliknya semuanya kembali ke pejabat.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa serangan bentuk itu tidak lagi berjaya sebaliknya, semua pengguna perlu lebih berwaspada pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Siang Tiong berkata, serangan bruteforce ini adalah salah satu bentuk ancaman siber dan terdapat bermacam lagi bentuk serangan yang ada sehingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

