am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan ditutup sementara susulan pertempuran berterusan di negara itu membabitkan Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera (RSF) yang tercetus sejak 15 April lalu, sekali gus menjadikan pejabat kedutaan kelima yang digantung operasinya di negara bergolak.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebelum ini Malaysia menutup sementara operasi kedutaan di empat negara pasca peperangan membabitkan Afghanistan, Libya, Syria dan Iraq.
Beliau berkata, tempoh penutupan sementara operasi pejabat kedutaan di Sudan itu bergantung kepada keadaan semasa di negara terbabit dan urusan berkaitan kedutaan kini dipindahkan ke Kaherah, Mesir.
“Operasi pejabat kedutaan di Khartoum, Sudan kini ditutup sementara selepas kita berjaya membawa keluar 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di negara itu pada Jumaat lalu susulan pergolakan berterusan ekoran pertempuran dua pasukan tentera.
“Setakat ini, berapa lama tempoh penggantungan pejabat kedutaan di Sudan itu tidak diketahui kerana ia bergantung kepada keadaan semasa di negara itu, namun kita akan sentiasa membuat pemantauan mengenainya.
“Bagaimanapun, kita menerima permintaan untuk membuka semula kedutaan Malaysia di Libya tetapi penilaian perlu dilakukan terlebih dulu.
“Susulan itu, pasukan sudah mula dihantar ke negara terbabit bagi menyediakan laporan berhubung keadaan di negara berkenaan dan cadangan pembukaan semula kedutaan di negara terbabit,” katanya.
Jumaat lalu, operasi membawa pulang 30 rakyat Malaysia dari Sudan menerusi Ops Sudan selesai dengan semuanya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.54 petang.
Sebelum itu, rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum itu, selamat tiba di Pelabuhan Sudan pada jam 2.07 petang Isnin waktu Sudan (jam 8.07 malam waktu Malaysia) selepas melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer, pada Selasa lalu.
Sehingga kini, lebih 500 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF yang tercetus pada 15 April lalu.
Zambry berkata, tindakan Afghanistan yang masih belum menetapkan dasar termasuk membabitkan hal wanita, menyebabkan Kementerian Luar belum memutuskan langkah seterusnya dan tindakan hanya diambil selepas hal itu diselesaikan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan kedutaan di Afghanistan, hal berkaitan kedutaan ditadbir pejabat kedutaan berdekatan iaitu di Pakistan.
“Bagi negara pasca peperangan lain seperti Libya, Iraq dan Syria pula, kita tutup sementara sebelum ini sehingga keadaan pulih dan kerajaan akan membuat keputusan bergantung kepada hasil penilaian dibuat pasukan pemantau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd