Biografi rakam kehidupan Awang Damit

Biografi rakam kehidupan Awang Damit

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perjalanan 40 tahun pelukis tersohor, Profesor Awang Damit Ahmad diabadikan dalam buku biografi dan hasil karya agungnya.

Buku bertajuk Garismega: Biografi Awang Damit Ahmad merakam kehidupan anak seni kelahiran Kuala Penyu, Sabah itu sejak kecil sehingga menempa nama sebagai antara seniman disegani negara.

Awang Damit berkata, penerbitan karya berkenaan amat istimewa kerana ia membawa pembaca mengenalinya secara lebih mendalam terutama menyentuh sisi peribadi.

“Dari sebuah angan-angan, saya cuba melengkapkan diri dengan dunia seni lukis dengan cara mencari, meneroka dan mengkaji berdasarkan pengalaman dan persekitaran.

“Saya hanya anak seorang petani dan nelayan, jadi kehidupan memang susah namun ia menjadi titik perubahan penting (dalam hidup saya),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pameran Lukisan dan Biografi Awang Damit di Galeri Prima, Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Effendi Omar dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Awang Damit turut menzahirkan kesyukuran kerana pameran dan buku biografi yang pertama kali diterbitkan itu dilancarkan pada bulan Mei, iaitu beberapa hari selepas tanggal harikelahirannya, pada 3 Mei lalu.

Pada acara sama, sebuah lagi naskhah iaitu ‘ADAlogy-Estetika Timur’, iaitu katalog himpunan lukisan pelukis mapan itu turut dilancarkan.

Dalam pada itu, pameran lukisan ‘ADAlogy-Estetika Timur’ yang menampilkan 34 karya pelukis itu berlangsung selama tiga hari bermula esok sehingga Sabtu di Galeri Prima di sini.

Bagaimanapun, semua karya yang dipamerkan kali ini adalah koleksi peribadi pelukis dan tidak dibuka untuk jualan.

Untuk rekod, Awang Damit diletakkan dalam kedudukan tiga pelukis teratas tanah air, berdasarkan keputusan lelongan, kekerapan menghasilkan karya, kadar jualan dan prestasinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd