JDT mudah ke suku akhir

JDT mudah ke suku akhir

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke suku akhir selepas menewaskan PDRM FC 3-0 pada aksi kalah mati pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Esteban Solari menanti lawan mereka sama ada Kuching City FC atau Penang FC yang membuat perhitungan pada aksi di Stadium Negeri Sarawak, malam esok.

Pada pertembungan itu, Solari membuat rombakan kecil dalam kesebelasan utama apabila penjaga gol, Farizal Marlias tampil beraksi selain kelibat Akhyar Rashid dan Sharul Saad turut tersenarai dalam skuad utama untuk mengisi tempat Fernando Forestier yang berada di bangku simpanan manakala Matthew Davies direhatkan.

Perubahan taktikal itu tidak menjejas rentak permainan JDT apabila seawal minit ketiga berjaya merobek gawang skuad Sang Saka Biru selepas bola sepakan lintang Ariff Aiman Hanapi tepat kepada Bergson Da Silva yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Tindakan Norfiqrie Abdul Talib mengasari Akhyat di dalam kotak penalti pada minit ke-12 membawa padah apabila pengadil perlawanan P Jeevananthan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang diamanahkan untuk mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah mencetak gol kedua peribadi selepas merembat bola kencang ke penjuru kanan menewaskan Muhamad Aqi meletak skuad Harimau Selatan selesa mendahului 2-0.

Sekali lagi JDT dihadiahkan sepakan penalti apabila Amir Saiful Badeli pula menjatuhkan Akhyar di dalam kotak penalti pada minit ke-27 dan giliran Leandto Velazquez mencetak nama selaku penjaring untuk memastikan tuan rumah selesa dengan jaringan 3-0.

Bersambung babak kedua, PDRM FC cuba untuk beri saingan namun masih mampu merencanakan gerakan berbahaya yang boleh menjelmakan jaringan tatkala benteng JDT tampak ampuh dibarisi kapten Jordi Amat, Shahrul dan Feroz Baharudin yang turut di bantu Shio Hong Wan selaku pemain tengah bertahan.

Sebaliknya JDT terus menguasai permainan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-63 tapi bola tandukan Bergson yang nyaris mencipta hatrik pada perlawanan itu sekadar melepasi palang gol selepas menerima bola sepakan lintang Corbin Ong.

Sedar kemenangan memihak JDT, barisan pemain skuad Harimau Selatan tampak memperlahankan rentak permainan dan jaringan 3-0 yang terhasil pada babak pertama kekal sehingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd